Tuesday, May 10, 2016

ANSELM TURMEDA PADERI YANG MEMELUK ISLAM

Firman Allah SWT:

(Yang bermaksud) “Dan jika kamu (Muhammad) berada dalam keraguan tentang apa yang Kami turunkan kepadamu, maka tanyakanlah kepada orang-orang yang membaca kitab sebelum kamu.  Sesungguhnya telah datang kebenaran kepadamu daripada Tuhanmu, sebab itu janganlah sekali-kali kamu termasuk orang-orang yang ragu.” (Surah Yunus 10: 94)

Alkitab, Perjanjian Baru menyatakan tentang kedatangan Penolong atau Penghibur (Paraclete) atau Roh Kebenaran:

“Aku sudah memberitahu kamu semuanya ini supaya kamu tidak kecewa sehingga tidak lagi percaya kepadaku.  Mereka akan melarang kamu masuk ke saumaah. Akan tiba masanya sesiapa yang membunuh kamu menyangka bahawa dengan perbuatan itu dia mengabdi kepada Allah.  Mereka akan melakukan perkara-perkara ini terhadap kamu, kerana mereka belum mengenal Bapa atau pun aku.  Tetapi sekarang aku sudah mengatakan semuanya ini kepada kamu, supaya kamu akan ingat bahawa aku sudah memberitahu kamu.  Aku tidak memberitahu  kamu hal ini daripada permulaan kerana aku masih bersama-sama kamu.  Tetapi sekarang aku akan pergi kepada Dia yang mengutus aku, tetapi tidak seorang pun daripada kamu bertanya, ‘Ke mana Guru mahu pergi?’.  Sekarang kamu bersedih kerana aku memberitahu kamu hal ini.  Tetapi apa yang aku katakan kepadamu benar: Untuk kebaikan kamu, lebih baik aku pergi.  Jika aku tidak pergi, Penolong itu tidak akan datang kepada kamu.  Tetapi jika aku pergi, aku akan mengutus dia kepadamu.  Apabila dia datang kelak, dia akan membuktikan kepada orang dunia bahawa pendapat mereka tentang dosa, tentang apa yang benar, dan hukuman Allah, semuanya salah.  Pendapat mereka tentang dosa salah kerana mereka tidak percaya kepadaku.  Pendapat mereka tentang apa yang benar itu salah kerana aku pergi kepada Bapa dan kamu tidak dapat melihat aku.  Pendapat mereka tentang hukuman Allah pun salah, kerana penguasa dunia ini sudah dihukum.  Banyak lagi yang hendak aku katakan kepada kamu, tetapi sekarang ini kamu belum sanggup menerimanya.  Tetapi apabila Roh yang menunjukkan apa yang benar itu datang, Roh akan membimbing kamu supaya tahu segala kebenaran itu.  Roh tidak akan mengatakan apa-apa mengikut kehendaknya sendiri.  Dia akan mengatakan apa yang didengarnya dan memberitahu kamu perkara-perkara yang akan berlaku.  Roh akan memuliakan aku kerana apa yang dinyatakan oleh Roh kepada kamu, diterima daripada aku.  Itulah sebabnya aku katakan bahawa apa yang disampaikan oleh Roh kepada kamu diterima daripada aku.” (Yohanes 16: 1-15)

ANSELM TURMEDA PADERI YANG MEMELUK ISLAM

Sepanjang sejarah, terdapat ramai sarjana-sarjana Kristian yang akhirnya mengakui kebenaran ramalan Jesus (a.s.) dan bahawa ia sebenarnya merujuk kepada nabi Muhammad (s.a.w.). 

Anselm Turmeda, seorang paderi dan sarjana Kristian, adalah salah seorang daripadanya.  Setelah mengenali nabi terakhir Tuhan  dan menganut Islam, beliau menulis sebuah buku yang terkenal bertajuk “Tuhfat al-arib fi al-raad ‘ala Ahl al-Salib”. 

Di dalam pendahuluan buku ini, beliau menceritakan sejarahnya:

“Saya berasal dari bandar Marjoca (*)  yang merupakan sebuah bandar besar di laut yang terletak di antara dua gunung dan dipisahkan oleh sebuah lembah.  Ia adalah badar perdagangan dengan dua pelabuhan.  Kapal-kapal dagang yang besar berlabuh di sini dan membawa berbagai barangan.  Bandar ini terletak di sebuah pulau dengan nama yang  sama, iaitu  Marjoca, dan kebanyakan daripada tanahnya ditumbuhi oleh pohon ara dan pohon zaitun. 

Ayah saya adalah seorang yang dihormati di bandar tersebut.  Saya adalah anak lelaki tunggalnya.  Semasa saya berusia enam tahun, beliau menghantar saya kepada seorang paderi yang mengajar saya membaca Gospel dan mantik, dan saya selesai mempelajarinya dalam masa enam tahun.  Selepas itu saya meninggalkan Majorca dan mengembara ke bandar Larda yang terletak di daerah Castillion yang merupakan pusat pembelajaran Kristian pada masa itu. 

Di antara seribu hingga seribu lima ratus pelajar-pelajar Kristian berkumpul di situ.  Semuanya di bawah pengurusan seorang paderi yang mengajar mereka.  Saya mempelajari Gospel dan bahasanya selama empat tahun lagi.  Selepas itu saya pergi ke Bologne di daerah Anabrdia.  Bologne adalah sebuah bandar besar, memandangkan ia adalah pusat pembelajaran semua orang di kawasan tersebut.  Setiap tahun, lebih daripada dua ribu pelajar dari berbagai tempat berkumpul di sini.  Mereka memakai pakaian kasar yang dipanggil “Warna Tuhan”.

Kesemuanya, sama ada anak seorang buruh atau anak seorang pemerintah memakai pakaian ini supaya mereka tidak berlainan daripada yang lain.  Hanya paderi yang mengawal dan mengarah mereka.  Saya tinggal di gereja ini dengan seorang paderi yang telah berumur.  Beliau amat dihormati oleh orang ramai disebabkan ilmunya, agamanya dan kezahidannya yang membezakannya daripada paderi-paderi Kristian lain.  Soalan dan permintaan datang dari serta tempat, daripada Raja-raja dan pemerintah-pemerintah, bersama dengan hadiah-hadiah.  Mereka berharap agar beliau akan menerima hadiah tersebut dan memberkati mereka.  Paderi ini mengajar saya prinsip-prinsip dan peraturan-peraturan agama  Kristian. 

Saya menjadi rapat kepadanya  semasa berkhidmat dan membantunya dalam tugas-tugasnya sehinggalah saya menjadi pembantu yang amat dipercayainya, sehinggakan beliau mengamanahkan kunci tempat tinggalnya di gereja, dan stor makan dan minuman.  Beliau hanya menyimpan kunci bilik kecil di   mana beliau tidur.  Saya rasa, dan Allah lebih mengetahui, bahawa beliau menyimpan peti hartanya di situ. 

Saya adalah seorang pelajar dan orang suruhannya untuk tempoh sepuluh tahun, kemudian beliau jatuh sakit dan tidak dapat menghadiri mesyuarat bersama  paderi-paderi lain.  Semasa ketiadaannya, paderi-paderi tersebut membincangkan beberapa hal agama sehingga mereka tiba kepada firman Allah Yang Maha Berkuasa melalui nabinya Jesus di dalam Gospel: “Selepasnya akan datang seorang Nabi digelar Paraclete”.  

Mereka banyak berdebat mengenai Nabi ini dan siapakah beliau di kalangan Nabi-nabi.  Setiap orang memberikan pendapatnya menurut pengetahuan dan kefahamannya; dan mereka berakhir dengan tidak mendapat apa-apa manfaat daripada isu ini.  Saya pergi menemui paderi saya dan seperti biasa, beliau bertanya mengenai apa yang dibincangkan dalam mesyuarat hari itu. 

Saya memberitahu beliau mengenai perbezaan pendapat mereka mengenai Paraclete, dan bagaimana mereka mengakhiri mesyuarat tersebut tanpa dapat menjelaskan maknanya.  Beliau bertanya saya: “Apakah jawapanmu?”.  Saya memberikan pendapat saya yang diambil daripada tafsir yang terkenal.  Beliau berkata bahawa saya hampir betul seperti beberapa paderi, dan paderipaderi lain salah. 

“Tetapi hal sebenarnya adalah lain daripada semua itu.  Ini adalah kerana tafsiran nama yang mulia itu hanya diketahui oleh segolongan kecil sarjana-sarjana yang mahir.  Dan kita hanya memiliki sedikit ilmu.”.  Saya melutut dan mencium kakinya dan berkata: “Tuan, anda tahu yang saya  mengembara dan datang ke sini dari negara yang jauh, saya telah berkhidmat untuk tuan selama lebih sepuluh tahun, dan telah memperolehi banyak ilmu, jadi tolonglah beritahu saya perkara sebenar mengenai nama ini.”. 

Paderi tersebut menangis dan berkata: “Anakku, demi Tuhan, kau lebih kusayangi kerana telah berkhidmat denganku dan menjagaku.  Ketahuilah kebenaran mengenai nama ini, dan ada ganjaran yang besar, tetapi ada juga bahaya yang besar.  Dan aku bimbang jika kau mengetahui kebenaran ini, dan penganut-penganut Kristian tahu mengenai hal ini, kau akan dibunuh serta-merta.  Saya berkata: “Demi tuhan, demi Gospel dan Dia yang menurunkannya, saya tidak akan menceritakan apa-apa daripada apa yang tuan beritahu saya, saya akan simpan dalam hati saya”.  Beliau berkata: “Anakku, semasa kau datang dari negaramu, aku bertanya jika ia dekat dengan golongan Muslim, dan sama ada mereka menyerangmu dan jika kamu menyerang mereka.  Ini adalah untuk menguji sama ada kamu membenci Islam.  Ketahuilah anakku, bahawa Paraclete adalah nama nabi mereka Muhammad, yang kepadanya diturunkan kitab keempat seperti yang disebut oleh Danial.  Jalannya adalah jalan yang benar yang disebut di dalam Gospel.”. 

Saya berkata: “Maka tuan, apakah pendapat tuan mengenai agama Kristian?”.  Beliau berkata: “Anakku, jika Kristian masih agama asal Jesus, maka mereka menganut agama Tuhan kerana agama Jesus dan semua nabi-nabi lain adalah agama sebenar Tuhan.  Tetapi mereka mengubahnya dan menjadi kafir.”.  Saya bertanya: “Jadi tuan, bagaimanakah  menyelamatkan diri daripadanya?”.  Beliau berkata: “Anakku, anutilah Islam”.  Saya bertanya: “Adakah apabila menganut Islam saya akan selamat?”.  Beliau menjawab: “Ya, di dunia ini dan dunia berikut.”.  Saya berkata: “Tuan tahu yang orang yang berhati-hati  memilih dengan teliti untuk dirinya; jika tuan tahu kebaikan Islam, apakah yang menjauhkan tuan daripadanya?”.  Beliau menjawab: “Anakku, Tuhan tidak mendedahkan kepadaku kebenaran Islam dan Nabi Islam sehinggalah aku telah tua dan badanku lemah.  Ya, ini  bukanlah alasan, sebaliknya adalah bukti Allah terhadap kita.  Jika Tuhan telah membimbingku ketika aku sebaya denganmu, aku telah pun meninggalkan segalagalanya dan menganut agama yang benar ini.  Kecintaan terhadap dunia adalah asas setiap dosa, dan lihat bagaimana aku telah dihormati dan dimuliakan oleh penganut-penganut Kristian, dan bagaimana aku hidup dalam kemewahan dan selesa!  Bagiku, jika aku menunjukkan sedikit kecenderungan terhadap Islam mereka akan membunuhku dengan serta-merta.  Kalaupun aku terselamat dan berjaya melarikan diri kepada umat Islam, mereka akan berkata, jangan ingat keislamanmu menguntungkan kamu, sebaliknya kamu telah beruntung dengan menganut agama yang benar, agama yang akan menyelamatkan kamu dari hukuman Allah!  Jadi aku  akan hidup di kalangan mereka selama lebih sembilan puluh tahun, tanpa memahami bahasa mereka dan mati kelaparan di kalangan mereka.
Segala puji bagi Allah, aku berada dalam agama Kristus dan apa yang dibawanya, dan Allah mengetahuinya.”.  Jadi saya bertanya: “Adakah tuan menasihati saya supaya pergi ke negara umat Islam dan menganut agama mereka?”.  Beliau berkata: “Jika kamu bijak dan mahu menyelamatkan dirimu, maka bersegeralah kepada apa yang akan menyelamatkanmu di dunia dan di akhirat.  Tetapi anakku, hal ini hanya di antara kita berdua.  Kawal dirimu dan rahsiakannya.  Jika ia didedahkan dan orang ramai tahu mengenainya, mereka akan membunuhmu serta-merta.  Aku tidak dapat menolongmu.  Tidak guna juga untukmu memberitahu mereka bahawa kamu mendapat  tahu mengenai Islam daripadaku, atau bahawa aku menggalakkanmu menganut Islam kerana aku akan menafikannya.  Mereka akan mempercayai pengakuanku daripada pengakuanmu.  Jadi, walau apa pun berlaku, jangan ceritakan apa-apa.”.  Saya berjanji tidak akan menceritakannya.  Beliau berpuas hati dengan janji saya.  Saya bersiap sedia untuk perjalanan saya dan mengucapkan selamat tinggal kepadanya.  Beliau mendoakan saya dan memberikan saya lima puluh dinar emas.  Kemudian saya menaiki kapal ke bandar Majorca dan tinggal bersama ibu bapa saya selama enam bulan.  Kemudian saya mengembara ke Sicily dan tinggal di sana selama lima bulan sementara menanti kapal yang akan menuju ke negara umat Islam.  Akhirnya sebuah kapal yang menuju ke Tunis tiba.  Kami bertolak sebelum  senja dan tiba di Tunis pada tengah hari kedua.  Setelah saya turun dari kapal, sarjana-sarjana Kristian yang tahu mengenai kedatangan saya menyambut saya dan saya tinggal bersama mereka selama empat bulan dengan selesa.  Selepas itu, saya bertanya mereka  jika ada penterjemah.  Sultan pada masa itu adalah Abu al-Abbas Ahmed.  Mereka berkata terdapat seorang baik dan merupakan doktor kepada Sultan dan juga salah seorang penasihatnya yang rapat.  Namanya adalah Yusuf al-Tabeeb.  Saya amat gembira mendengar hal ini dan bertanya di mana beliau tinggal.  Mereka membawa saya bertemunya secara berasingan.  Saya menceritakan  kisah saya kepadanya dan sebab kedatangan saya, iaitu untuk memeluk Islam.  Beliau amat gembira kerana hal ini akan diselesaikan dengan bantuannya.  Kami menunggang ke istana Sultan.  Beliau mengadap Sultan dan menceritakan kisah saya dan meminta kebenarannya untuk membawa saya mengadap baginda.  Baginda berkenan dan saya mengadapnya.  Soalan pertama yang ditanya baginda adalah usia saya.  Saya  memberitahu yang saya berumur tiga puluh lima tahun.  Baginda bertanya saya mengenai pelajaran dan sains yang saya pelajari.  Selepas itu baginda berkata, “Kedatanganmu membawa kebaikan.  Jadilah seorang Muslim dengan berkat daripada Allah.”.  Kemudian saya berkata kepada doktor tersebut, “Beritahu Sultan bahawa biasanya apabila seseorang menukar agamanya, kaumnya akan memfitnahnya dan memburuk-burukkannya.  Jadi, saya ingin supaya baginda memanggil paderi-paderi dan pedagang-pedagang Kristian di bandar ini dan tanyakan kepada mereka tentang diri saya dan dengar apa yang mereka kata.  Kemudian, dengan izin Allah, saya akan memeluk Islam.  Beliau bertitah melalui penterjemah tersebut, “Kamu telah meminta apa yang diminta olah Abdullah ibn Salam daripada Nabi  ketika beliau pergi untuk menganut Islam?  Baginda kemudiannya memanggil paderi-paderi tersebut dan beberapa pedagang Kristian dan menyuruh saya duduk di bilik bersebelahan tanpa dilihat oleh mereka.  “Apakah pendapat kamu mengenai paderi yang baru tiba  dengan kapal?”, tanya baginda.  Mereka berkata, “Beliau adalah seorang ulama besar agama kami.  Biskop-biskop kami berkata bahawa beliau adalah seorang yang alim dan tiada sesiapa yang dapat menandingi pengetahuan agamanya.”.  Setelah mendengar pengakuan  ini, Sultan memanggil saya, dan saya muncul di hadapan mereka lalu mengucap dua kalimah syahadah bahawa tiada yang layak disembah melainkan Allah dan bahawa Muhammad adalah utusanNya, dan apabila mereka mendengarnya, mereka marah lalu berkata, “Tiada apa  yang mendorongnya berbuat demikian, melainkan keinginannya untuk berkahwin kerana paderi agama kami dilarang berkahwin.”.  Mereka pergi dengan rasa marah dan sedih.  Sultan melantik saya ke suatu jawatan dengan bayaran suku dinar dari perbendaharaan dan mengahwinkan saya dengan anak perempuan Al-Hajj Muhammed al-Saffar.  Apabila saya mengambil keputusan untuk menyempurnakan perkahwinan tersebut, baginda menghadiahkan saya seratus dinar emas dan sepersalinan pakaian yang bagus.  Saya menyempurnakan perkahwinan tersebut dan Tuhan menganugerahkan saya seorang anak yang saya namakan Muhammad sempena nama Nabi.”



(*) Marjoca adalah sebuah pulau di Sepanyal yang terletak di barat Laut Mediterranean berhampiran dengan pantai timur tanah besar.  Ia adalah pulau terbesar di Kepulauan Balearic, dan adalah kerajaan yang bebas di antara 1276 hingga 1343.

Saturday, April 25, 2015

TENTANG JESUS ANAK TUHAN? (Bahagian 3)



ULASAN ATAS KENYATAAN DARI WHATSAPP (TENTANG JESUS ANAK TUHAN?)
(Bahagian 3)

Ulasan oleh: Mohd Safwan bin Mohd Rusydi



Kenyataan dari whatsapp: Salah satu sebab kenapa umat Islam tidak dapat menerima Kristian adalah kerana mereka dibutakan Imam-imam yang memberikan ajaran yang salah tentang Quran dan tentang Yesus. Sebab itu orang-orang Kristian menyatakan yang Firman itu adalah Anak Allah.
 
Ulasan saya: Orang-orang kristian menyatakan Firman itu adalah Anak Allah itu kah yang benar? Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan perkataan“Anak Allah” di dalam bible? Sebab di dalam bible bukan hanya Jesus (Nabi Isa a.s) yang digunakan perkataan “Anak Allah.” Bahkan banyak. Mari kita perhatikan beberapa ayat berikut:
 
(1) Dalam kitab Lukas bab 3 ayat 23 hingga 38 menceritakan berkenaan salasilah (keturunan) Jesus. Sungguh menghairankan bukankah Jesus sebenarnya tidak mempunyai bapa, namun mengapa dikaitkan dengan salasilah ini.  Lihat ayat ini:
 
“Ketika Yesus memulai pekerjaan-Nya, Ia berumur kira-kira tiga puluh tahun dan menurut anggapan orang, Ia adalah anak Yusuf, anak Eli,” Lukas 3: 23.
 
Jika hanya anggapan orang, mengapa dimasukkan sebagai salasilahnya? Bukankah lebih benar jika salasilahnya dilihat dari sebelah Ibunya (Maryam)?  
 
Dan ayat yang terakhir:
 
“..anak Enos, anak Set, anak Adam, anak Allah.” Lukas 3: 38. Ini bererti Nabi Adam juga anak Allah?
 
(2) Seterusnya kisah tentang Tuhan telah menciptakan manusia lalu menyesal kerana perbuatan manusia. Lihat apa kata Tuhan dalam Bible:
 
Berfirmanlah TUHAN: "Aku akan menghapuskan manusia yang telah Kuciptakan itu dari muka bumi, baik manusia maupun hewan dan binatang-binatang melata dan burung-burung di udara, sebab Aku menyesal, bahwa Aku telah menjadikan mereka." Kejadian 6: 7.
 
Seterusnya lihat pada ayat yang ke 2 dan ke 4 terdapat perkataan anak-anak Allah:
 
“Maka anak-anak Allah melihat, bahwa anak-anak perempuan manusia itu cantik-cantik, lalu mereka mengambil isteri dari antara perempuan-perempuan itu, siapa saja yang disukai mereka.” Kejadian 6: 2.
 
“Pada waktu itu orang-orang raksasa ada di bumi, dan juga pada waktu sesudahnya, ketika anak-anak Allah menghampiri anak-anak perempuan manusia, dan perempuan-perempuan itu melahirkan anak bagi mereka; inilah orang-orang yang gagah perkasa di zaman purbakala, orang-orang yang kenamaan.” Kejadian 6: 4.
 
Berapa sebenarnya anak Allah? Namun mengapa hanya Jesus yang orang-orang Kristian maksudkan sebagai anak Allah?
 
(3) Bahkan bible mengatakan Tuhan ada anak sulung? Lihat ayat ini:
 
“Maka engkau harus berkata kepada Firaun: Beginilah firman TUHAN: Israel ialah anak-Ku, anak-Ku yang sulung;” Keluaran 4: 22.
 
Namun dalam ayat yang lain pula:
 
“Dengan menangis mereka akan datang, dengan hiburan Aku akan membawa mereka; Aku akan memimpin mereka ke sungai-sungai, di jalan yang rata, di mana mereka tidak akan tersandung; sebab Aku telah menjadi bapa Israel, Efraim adalah anak sulung-Ku.” Yeremia 31: 9.
 
Siapakah sebenarnya anak sulung Tuhan Israel atau Efraim? Bukankah kedua ayat di atas ini bertentangan?
 
(4) Dalam kitab Mazmur bab 2 ayat 7:
 
“Aku mau menceritakan tentang ketetapan TUHAN; Ia berkata kepadaku: "Anak-Ku engkau! Engkau telah Kuperanakkan pada hari ini.”
 
Tuhan berkata “Anak-Ku engkau” yakni Nabi Daud diperanakkan pada hari tersebut iaitu sekitar beliau berumur sekitar 40 tahun?
 
(5) Dalam kitab Roma  bab 8 ayat 14:
 
“Semua orang, yang dipimpin Roh Allah, adalah anak Allah.”
 
Demikian bahasa Bible menceritakan dengan banyak menggunakan perkataan “anak Allah”. Mungkin orang-orang kristian dengan mudah akan menjawab itu hanyalah “perumpamaan” atau “kiasan”. Namun ketika mana ayat serupa ditujukan kepada Jesus (Nabi Isa a.s) mengapa orang-orang Kristian tidak mahu merujuk maknanya kepada “perumpamaan” juga?
 
Sebab itulah Al-Quran memperingatkan kepada ahli kitab (Yahudi dan Nasrani):
 
لَقَدْ كَفَرَ الَّذِينَ قَالُوا إِنَّ اللَّهَ ثَالِثُ ثَلاثَةٍ وَمَا مِنْ إِلَهٍ إِلا إِلَهٌ وَاحِدٌ وَإِنْ لَمْ يَنْتَهُوا عَمَّا يَقُولُونَ لَيَمَسَّنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ
 
“Demi sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: "Bahawasanya Allah ialah salah satu dari tiga tuhan". Padahal tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan yang Maha Esa. dan jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, sudah tentu orang-orang yang kafir dari antara mereka akan dikenakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (Al-Maidah 5: 73).
 


Kenyataan dalam whatsapp: Sehingga ayat yang terakhir: Persoalannya, sekiranya Allah mempunyai Anak, Allah juga mempunyai Isteri bukan? Siapakah Isteri Allah ?
 
Dalam Quran menyatakan yang Allah dapat melihat tanpa memerlukan mata,
Allah dapat mendengar tanpa memerlukan telinga,
Allah dapat bercakap tanpa memerlukan lidah.
 
Jadi, oleh itu, Allah juga boleh mempunyai Anak tanpa memerlukan Isteri.
 
Ulasan saya: Allah boleh mempunyai Anak tanpa memerlukan isteri?! Maha suci Allah dari apa yang mereka perkatakan. Mari kita ulangi, jika Allah punya anak, maka siapakah sebenarnya anak Allah? Adam atau Israel, atau Efraim, atau Daud, atau semua yang dipimpin Roh Allah?
 
Baiklah mari kita mengkaji pula apakah yang dimaksudkan dengan “ROH” di dalam kitab Bible. Mari kita lihat kitab 1 Yohanes bab 4 ayat 1:
 
“Saudara-saudaraku yang kekasih, janganlah percaya akan setiap ROH, tetapi ujilah ROH-ROH itu, apakah mereka berasal dari Allah; sebab banyak nabi-nabi palsu yang telah muncul dan pergi ke seluruh dunia.”
 
Penjelasan makna ayat di atas: Ayat ini terdiri dari dua rangkai ayat iaitu:
 
(1) Saudara-saudaraku yang kekasih, janganlah percaya akan setiap ROH, tetapi ujilah ROH-ROH itu.
 
(2) Apakah mereka berasal dari Allah; sebab banyak nabi-nabi palsu yang telah muncul dan pergi ke seluruh dunia.
 
Dengan mudah rangkaian pertama “ROH” ditafsirkan (dijelaskan) dengan rangkaian kedua iaitu “Nabi-Nabi”. Sehingga maksudnya, “Janganlah percaya akan setiap Nabi, tetapi ujilah nabi-nabi itu.”
 
Kita lanjutkan kepada ayat seterusnya iaitu 1 Yohanes bab 4 ayat 2:
 
“Demikianlah kita mengenal ROH ALLAH: setiap ROH yang mengaku, bahwa Yesus Kristus telah datang sebagai manusia, berasal dari Allah.”
 
Penjelasan makna ayat di atas: Apakah maksud ROH pada ayat yang kedua ini tidak ada kaitan dengan ayat pertama? Lihat perkataan “Demikianlah” yang merupakan kesimpulan dari ayat pertama (1 Yohanes 4: 1). Maka ayat di atas menjelaskan kepada kita bahawa jangan mudah percaya kepada setiap Roh (Nabi), tetapi hendaklah terlebih dahulu menguji setiap Roh (Nabi) tersebut. Apakah bentuk ujian yang perlu dilakukan? Bagaimana kita dapat mengenal diantara Roh (Nabi) yang benar dan Nabi yang palsu? Itulah yang dinyatakan pada ayat kedua:
 
“Demikianlah kita mengenal Roh (Nabi) ALLAH: setiap Roh (Nabi) yang mengaku, bahwa Yesus Kristus telah datang sebagai manusia, berasal dari Allah.”
 
Umat Islam yang diajar supaya menghormati dan menerima seluruh nabi-nabi yang ada sama ada yang disebutkan namanya dalam Al-Quran mahupun yang tidak disebutkan termasuklah Nabi Isa a.s. Inilah ajaran yang di bawa oleh Nabi Muhammad s.a.w.
 
Firman Allah SWT:
 
قُولُوا آمَنَّا بِاللَّهِ وَمَا أُنْزِلَ إِلَيْنَا وَمَا أُنْزِلَ إِلَى إِبْرَاهِيمَ وَإِسْمَاعِيلَ وَإِسْحَاقَ وَيَعْقُوبَ وَالْأَسْبَاطِ وَمَا أُوتِيَ مُوسَى وَعِيسَى وَمَا أُوتِيَ النَّبِيُّونَ مِنْ رَبِّهِمْ لَا نُفَرِّقُ بَيْنَ أَحَدٍ مِنْهُمْ وَنَحْنُ لَهُ مُسْلِمُونَ
 
“Katakanlah (Wahai orang-orang yang beriman): "Kami beriman kepada Allah, dan kepada apa yang diturunkan kepada Kami (Al-Quran), dan kepada apa yang diturunkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dan Nabi Ishak dan Nabi Yaakub serta anak-anaknya, dan juga kepada apa yang diberikan kepada Nabi Musa (Taurat) dan Nabi Isa (Injil), dan kepada apa yang diberikan kepada Nabi-nabi dari Tuhan mereka; Kami tidak membeza-bezakan antara seseorang dari mereka (sebagaimana yang kamu -Yahudi dan Nasrani/Kristian- membeza-bezakannya); dan Kami semua adalah Islam (berserah diri, tunduk taat) kepada Allah semata-mata".” (Al-Baqarah 2: 136)
 
Bahkan dalam agama Islam, setiap nama nabi yang disebutkan, kami dianjurkan untuk menyebut ‘Alaihissalam’ atau ringkasnya (a.s) yang bermaksud semoga kesejahteraan dilimpahkan ke atasnya.
 
Seterusnya lihatlah keajaiban di dalam Yohanes bab 16 ayat 4 hingga 15 yang menceritakan tentang pekerjaan penghibur iaitu Roh (Nabi) kebenaran setelah Nabi Isa a.s diangkat ke langit.
 
Selesai bahagian 3.

Thursday, April 23, 2015

TENTANG JESUS ANAK TUHAN? (Bahagian 2)



ULASAN ATAS KENYATAAN DARI WHATSAPP (TENTANG JESUS ANAK TUHAN?)



(Bahagian 2)

Ulasan oleh: Mohd Safwan bin Mohd Rusydi
 
Kenyataan dari whatsapp:
 
Perkara 1,
Yesus adalah “Kallimatulli” bermaksud “yang berasal daripada Allah”.
 
Perkara 2,
Yesus adalah “Ahimokuli” yang bermaksud “Roh daripada Allah”.
 
Perkara 3,
Yesus adalah “Isa Masi” yang bermaksud “Yesus Penebus”.
 
 
Ulasan saya: Perkara 1, Yang sebenarnya “Kalimatullah” bukannya “Kalimatulli” kesalahan tersebut mungkin akibat dari tidak mahir membaca tulisan arab dengan benar atau mungkin ianya sebagai cubaan untuk menterjemahkan sendiri pernyataan “Kalimat yang berasal dari saya” sehingga jadilah “Kalimatulli”, namun perkataan itu tiada dalam Al-Quran.
 
Berkenaan “Kalimatullah” dijelaskan dalam firman Allah berikut:
 
إِذْ قَالَتِ الْمَلَائِكَةُ يَا مَرْيَمُ إِنَّ اللَّهَ يُبَشِّرُكِ بِكَلِمَةٍ مِنْهُ اسْمُهُ الْمَسِيحُ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ وَجِيهًا فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَمِنَ الْمُقَرَّبِينَ
 
“(Ingatlah) ketika malaikat berkata: "Wahai Maryam! Bahawasanya Allah memberikan khabar yang mengembirakanmu, dengan (mengurniakan seorang anak yang engkau akan kandungkan semata-mata dengan) kalimah daripada Allah, nama anak itu: Al-Masih, Isa Ibni Maryam, seorang yang terkemuka di dunia dan di akhirat, dan ia juga dari orang-orang yang didampingkan (diberi kemuliaan di sisi Allah).” (Ali Imran 3: 45)
 
Supaya tidak disalahfahami oleh orang Kristian, kalimatullah (sekali lagi bukan kalimatulli) adalah kalimah Allah bermaksud Nabi Isa (Jesus) dijadikan daripada kalimah “KUN” yang bermaksud “Jadilah engkau” sama sepertimana Nabi Adam yang juga dijadikan daripada kalimah “KUN” (jadilah engkau) lalu terjadilah ia (yakni Nabi Adam begitu juga Nabi Isa).
 
Firman Allah SWT:
 
قَالَتْ رَبِّ أَنَّى يَكُونُ لِي وَلَدٌ وَلَمْ يَمْسَسْنِي بَشَرٌ قَالَ كَذَلِكِ اللَّهُ يَخْلُقُ مَا يَشَاءُ إِذَا قَضَى أَمْرًا فَإِنَّمَا يَقُولُ لَهُ كُنْ فَيَكُونُ
 
“Maryam berkata: Wahai Tuhanku! Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak, padahal aku tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki pun?" Allah berfirman; "Demikianlah keadaannya, Allah menjadikan apa yang dikehendakiNya; apabila Dia berkehendak melaksanakan sesuatu perkara, maka Dia hanyalah berfirman kepadanya: ` Jadilah engkau ', lalu menjadilah ia." (Ali-Imran 3: 47)
 
Allah Ta’ala menjelaskan hakikat kejadian Nabi Isa a.s dengan membuat perbandingan yang mudah sekali, sebagaimana firmanNya:
 
إِنَّ مَثَلَ عِيسَى عِنْدَ اللَّهِ كَمَثَلِ آدَمَ خَلَقَهُ مِنْ تُرَابٍ ثُمَّ قَالَ لَهُ كُنْ فَيَكُونُ
 
“Sesungguhnya perbandingan (kejadian) Nabi Isa di sisi Allah adalah sama seperti (kejadian) Nabi Adam. Allah telah menciptakan Adam dari tanah lalu berfirman kepadanya: "Jadilah engkau!" Maka menjadilah ia.” (Ali Imran 3: 59)
 
Berkenaan Ruhullah (bukannya Aholimakulli perkataan ini juga tiada dalam Al-Quran), ia bermaksud roh yang ditiupkan kepada Maryam sehingga dia menjadi mengandung sedangkan Maryam tidak mempunyai suami. Roh yang dimaksudkan adalah roh yang sama seperti roh-roh lain yang merupakan ciptaan Allah. Diberi gelaran sebagai Ruhullah kepada Nabi Isa adalah sebagai memuliakannya. Inilah yang telah disalahfahami.
 
Firman Allah:
 
يَا أَهْلَ الْكِتَابِ لَا تَغْلُوا فِي دِينِكُمْ وَلَا تَقُولُوا عَلَى اللَّهِ إِلَّا الْحَقَّ إِنَّمَا الْمَسِيحُ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ رَسُولُ اللَّهِ وَكَلِمَتُهُ أَلْقَاهَا إِلَى مَرْيَمَ وَرُوحٌ مِنْهُ فَآمِنُوا بِاللَّهِ وَرُسُلِهِ وَلَا تَقُولُوا ثَلَاثَةٌ انْتَهُوا خَيْرًا لَكُمْ إِنَّمَا اللَّهُ إِلَهٌ وَاحِدٌ سُبْحَانَهُ أَنْ يَكُونَ لَهُ وَلَدٌ لَهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ وَكَفَى بِاللَّهِ وَكِيلًا
 
“Wahai Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani)! Janganlah kamu melampaui batas dalam perkara agama kamu, dan janganlah kamu mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar; Sesungguhnya Al-Masih Isa Ibni Maryam itu hanya seorang pesuruh Allah dan kalimah Allah yang telah disampaikanNya kepada Maryam, dan (ia juga tiupan) roh daripadaNya. Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-rasulNya, dan janganlah kamu mengatakan: "(Tuhan itu) tiga". Berhentilah (daripada mengatakan yang demikian), supaya menjadi kebaikan bagi kamu. Hanyasanya Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa, Maha suci Allah daripada mempunyai anak. Bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dan cukuplah Allah menjadi pengawal (yang mentadbirkan sekalian makhlukNya).” (An-Nisaa’ 4: 171)
 
Nabi Muhammad s.a.w juga pernah bersabda:
 
مَنْ شَهِدَ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، وَأَنَّ عِيسَى عَبْدُ اللَّهِ وَرَسُولُهُ، وَكَلِمَتُهُ أَلْقَاهَا إِلَى مَرْيَمَ وَرُوحٌ مِنْهُ، وَالجَنَّةُ حَقٌّ، وَالنَّارُ حَقٌّ، أَدْخَلَهُ اللَّهُ الجَنَّةَ عَلَى مَا كَانَ مِنَ العَمَلِ
 
“Barangsiapa yang bersaksi bahawa tiada Tuhan (yang berhak) disembah kecuali Allah semata-mata tidak ada sekutu bagiNya, dan bahawa Muhammad adalah hamba serta rasulNya, dan bahawa Isa (Jesus) hamba serta rasulNya dan kalimahNya ditiupkan kepada Maryam sedang Roh itu dariNya, Syurga itu benar (adanya), dan Neraka itu benar (adanya), maka Allah akan memasukkannya ke dalam Syurga berdasarkan amalannya.” (HR. Bukhari)
 
Masihullah (Juru selamat Allah). Nabi Isa a.s digelar sebagai Al-Masih di dalam Al-Quran lebih dari 10 tempat. Al-Masih dari perkataan bahasa Arab “Ma-sa-ha” yang bermaksud “Menyapu/mengusap” ia dikaitkan dengan perbuatan mukjizat Nabi Isa a.s yang dapat menyembuhkan penyakit orang yang sakit seperti buta dan penyakit sopak dan lain-lain lagi hanya dengan perbuatan menyapu dibahagian yang sakit lalu dengan izin Allah ia menjadi sembuh.
 
 
Keterangan dalam whatsapp: Tetapi apabila saya melihat apa yang Quran menyatakan tentang Nabi Muhammad, Quran menyatakan yang Nabi Muhammad adalah Bukan Firman daripada Allah. Dia tidak pernah memberi nyawa kepada tanah liat, tidak pernah menyembuhkan sesiapa, tidak pernah membangkitkan orang mati dan dia sendiri pun mati dan tidak akan datang kembali. Oleh itu, pada hari itu saya membuat kesimpulan bahawa Yesus adalah lebih besar daripada Nabi Muhammad dan Yesus itu tetap juga adalah nabi daripada Allah.
 
Ulasan saya: Telah dijelaskan di atas sebelum ini, Nabi Isa a.s dinamakan sebagai “Kalimatullah” di dalam Al-Quran bukan kerana baginda (Nabi Isa a.s) itu sendiri adalah firman atau tuhan. Bukan. Walaupun jika kita terjemah secara harfiah (literal) “Kalimatullah” akan bermaksud “Firman Allah”, namun perlu dilihat pada ayatnya secara menyeluruh sehingga maksud yang benar “Kalimatullah” di situ adalah “Kalimah yang berasal dari Allah” iaitu kalimah/firman Allah “KUN” yang bermaksud jadilah engkau.
 
Allah SWT menjelaskan berkenaan kuasaNya yang dikaitkan dengan takdirNya dengan berfirman:  
 
إِنَّمَا أَمْرُهُ إِذَا أَرَادَ شَيْئًا أَنْ يَقُولَ لَهُ كُنْ فَيَكُونُ

“Sesungguhnya keadaan kekuasaanNya apabila Dia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Dia berfirman kepada (hakikat) benda itu: " Jadilah engkau! ". maka ia terus menjadi.” (Yasin 36: 82)
 
Kenyataan dalam whatsapp: Pada suatu hari saya berjumpa dengan guru saya yang telah mengajar saya bahasa Arab selama 10 tahun. Saya bertanyakan “guru, bagaimanakah Allah menciptakan alam semesta ? ”  Guru menjawab bahawa Allah menciptakan semua yang ada sekarang adalah melalui Firman. Saya bertanya lagi ”guru, Firman yang dimaksudkan itu ada Pencipta atau sesuatu yang dicipta Allah ?”
 
Guru saya tiba-tiba menjadi marah kerana sekiranya dia menjawab Firman itu adalah Pencipta bermakna semua Umat Islam mesti menjadi Kristian kerana Quran menyatakan yang Yesus adalah Firman Allah.
 
Ulasan saya: Kisah sang Imam (palsu) ini nampaknya menampakkan lagi akan kejahilan dirinya tentang ajaran agama Islam.
 
Bagaimana boleh timbul persoalan firman itu ada pencipta atau sesuatu yang dicipta?! Firman itu adalah perkataan Allah bukannya makhluk. Firman Allah (Kalamullah) adalah merupakan sifatNya diantara sifat-sifatNya yang Maha Sempurna dan Allah berbicara menurut kehendakNya.
 
Firman Allah:
 
إِنَّمَا أَمْرُهُ إِذَا أَرَادَ شَيْئًا أَنْ يَقُولَ لَهُ كُنْ فَيَكُونُ
 
“Sesungguhnya keadaan kekuasaanNya apabila Dia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Dia berfirman kepada (hakikat) benda itu: " Jadilah engkau! ". maka ia terus menjadi.” (Yasin 36: 82)
 
Firman Allah adalah merupakan sifatNya, maka ia (kalamullah) bukanlah sesuatu yang dicipta bukan pula sesuatu yang terpisah dari zat Allah. Kerana Dialah yang mula-mula sekali menuturkannya maka tidak dikaitkan penyebutannya kecuali kepada orang yang mula-mula sekali mengatakannya. Contoh mudah, Ahmad menyuruh agar kanak-kanak masuk ke dalam rumah. Maka Farhan pun menyampaikan pesanan Ahmad kepada Nordin dan Nordin menyampaikan Daud dan Daud menyampaikan kepada kanak-kanak yang sedang bermain di luar rumah. Persoalannya siapa sebenarnya yang menyuruh agar masuk ke dalam rumah? Adakah Farhan, Ahmad, Nordin atau Daud? Ertinya pesanan (ucapan) tersebut milik siapa? Tentu jawabnya ianya merupakan (ucapan) milik Ahmad. Demikianlah analogi yang sangat mudah untuk difahami.
 
Akan tetapi perlu difahami, firman Allah tidaklah sama dengan ucapan manusia. Ucapan atau perkataan manusia memiliki banyak kelemahan dan kekurangan. Berbeza dengan firman Allah. Kerana itu cubaan untuk mengubah ayat-ayat Al-Quran dari dahulu hingga kini tidak ada yang berjaya melakukannya. Kerana Allah berfirman:
 
قُلْ لَئِنِ اجْتَمَعَتِ الإنْسُ وَالْجِنُّ عَلَى أَنْ يَأْتُوا بِمِثْلِ هَذَا الْقُرْآنِ لا يَأْتُونَ بِمِثْلِهِ وَلَوْ كَانَ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ ظَهِيرًا
 
“Katakanlah (Wahai Muhammad): "Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan Al-Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang sebanding dengannya, Wwlaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri".” (Al-Israa 17: 88).
 


Kenyataan dari whatsapp: Yesus adalah “Kallimatulli” bermaksud “ yang berasal daripada Allah”. Guru menjawab ”Firman itu bukan Pencipta dan Firman bukan sesuatu yang dicipta !!  Kau keluar dari sini !!”  dia menghalau saya keluar.
 
Ulasan saya: “Telah dijelaskan tadi “Kalimatulli” adalah suatu kesalahan. Dalam Al-Quran dinyatakan “Wakalimatun Minhu” yang bermaksud “Dan kalimah itu berasal dariNya” iaitu kalimah “KUN” (jadilah engkau) itu berasal dari Allah. Lihat penjelasan sebelum ini (di atas).
 
Selesai bahagian 2.

TENTANG JESUS ANAK TUHAN? (Bahagian 1)

ULASAN ATAS KENYATAAN DARI WHATSAPP (TENTANG JESUS ANAK TUHAN?)

(Bahagian 1)

Ulasan oleh: Mohd Safwan bin Mohd Rusydi


Berikut ini saya tuliskan ulasan dari kenyataan dalam whatsapp yang menyentuh tentang agama Islam dan Kristian. Saya akan cuba menjawab dalam bentuk penjelasan dari setiap kenyataan dari whatsapp sebagai jawapan ke atas kenyataan tersebut. Setiap penjelasan mengenai satu atau beberapa kenyataan akan diakhiri dengan kata (selesai) dalam kurungan.

Kenyataan dari whatsapp: “Di sini ada kesaksian seorang bekas Imam dalam sebuah Masjid tentang Yesus Kristus.”

Ulasan saya: Siapa nama Imam tersebut tidak dinyatakan? Boleh jadi kisah ini hanyalah rekaan semata-mata. (Selesai)

Kenyataan dari whatsapp: “Sebagai seorang Imam dalam Masjid bagi umat Islam, saya selalu berkuthbah tentang Allah iaitu Allah adalah Satu dan Yesus itu bukan Anak Allah kerana Allah tidak pernah kahwin dan tidak mungkin Allah itu mempunyai anak.

Ulasan saya: Berkenaan Tuhan itu satu, bukan sahaja ajaran umat Islam, bahkan ia merupakan ajaran Nabi Musa a.s dan nabi-nabi terdahulu yang terkandung dalam Alkitab (perjanjian lama) itu sendiri:

“Sebab itu ketahuilah pada hari ini dan camkanlah, bahawa Tuhanlah Allah yang di langit di atas dan di bumi di bawah, tidak ada yang lain” Ulangan 4:39.

“Kamu inilah saksi-saksiKu”, demikianlah firman  TUHAN, “dan hambaku yang telah Kupilih, supaya kamu tahu dan percaya kepadaKu dan mengerti, bahawa Aku tetap Dia.  Sebelum Aku tidak ada Allah dibentuk, dan sesudah Aku tidak akan ada lagi.  Aku, Akulah TUHAN dan tidak ada juru selamat selain daripadaKu” Yesaya 43:10-11.

Lihat kata, “Tidak ada juru selamat selain daripadaKu” ertinya segala keselamatan adalah dengan mempercayai hanya Dialah Tuhan (yang satu). Ini kerana tidak ada sebuah pernyataan pun yang menyatakan Tuhan itu triniti dalam perjanjian lama. Bertentangan dengan perjanjian baru yang menyatakan Jesus diutuskan sebagai penghapus dosa warisan (nabi Adam), namun tidak dijelaskan sama sekali sebarang peranan kedatangan Jesus tersebut dalam perjanjian lama.

“Beginilah firman TUHAN, Raja dan Penebus Israel, TUHAN semesta alam: “Akulah yang terdahulu dan Akulah yang terkemudian; tidak ada Allah selain daripadaKu” Yesaya 44:6.

Dalam Al-Quran juga Allah menjelaskan dengan makna yang serupa (semakna) dengan ayat ‘Akulah yang terdahulu dan Akulah yang terkemudian’, firman Allah:

هُوَ الأوَّلُ وَالآخِرُ وَالظَّاهِرُ وَالْبَاطِنُ وَهُوَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ (٣)

“Dia lah yang Awal dan yang Akhir; dan yang zahir serta yang Batin; dan Dialah yang Maha
mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.” (Al-Hadid 57: 3)

Nabi Muhammad s.a.w menyatakan kepada Tuhannya:

اللهم أنت الأول فليس قبلك الشيء وأنت الآخر فليس بعدك الشيء وأنت الظاهر فليس فوقك الشيء وأنت الباطن فليس دونك الشيء

“Ya Allah, Engkaulah yang Awal yang tiada sesuatu pun (wujud) sebelumMu, Engkaulah yang Akhir yang tiada sesuatu pun sesudahMu, Engkaulah yang Zahir yang tiada sesuatupun di atasMu, dan Engkaulah yang Batin yang tiada sesuatu pun yang dapat menghalangiMu.” (HR. Muslim)

Di Antara dalil daripada Alkitab (bible) lagi:

“Supaya orang tahu dari terbitnya matahari sampai terbenamnya, bahawa tidak ada yang lain di luar Aku.  Akulah TUHAN dan tidak ada yang lain”  Yesaya 45:6.

Lihat kata, “bahawa tidak ada yang lain di luar Aku.” Apakah maksud diluar Aku? Bukankah Jesus (Nabi Isa a.s) itu berada diluar Allah?

Bahkan perkataan tuhan itu esa dalam bible juga jelas dalam Ulangan bab 6, ayat 4,

“Dengarlah, hai orang Israel: TUHAN itu Allah kita, TUHAN itu Esa.” Yakni Tuhan itu satu. (Selesai)

Kenyataan dari whatsapp: Tetapi pada suatu hari ada seseorang yang berada di kalangan umat Islam bertanya kepada saya  “Siapakah Yesus (Isa) ?”  kerana selalu saya menyatakan yang Yesus itu bukan Allah. Jadi persoalannya siapakah Yesus (Isa) ?  “Demi mencari jawapan persoalan tersebut, saya sebagai Imam terpaksa membaca semula Quran tentang  “Siapakah Yesus ?”  Terdapat 114 bab dan 6666 kali nama Nabi Muhammad muncul di 4 bab Quran tetapi Nama Yesus muncul di 25 bab Quran. Saya berasa keliru kerana bagaimana mungkin Quran memberi lebih keutamaan kepada Yesus berbanding Nabi Muhammad ?

Ulasan saya: Memang benar nama Jesus lebih banyak disebut dalam Quran berbanding nama  Muhammad. Namun adakah menyatakan Jesus sebagai Tuhan atau Anak Tuhan atau hanya menyatakan bahawa Jesus (Nabi Isa a.s) merupakan seorang Nabi yang lahir dengan kalimat Allah yang ditiupkan ke atas ibunya Maryam, yang mempunyai mukjizat-mukjizat sepertimana juga Nabi-nabi sebelumnya yang juga mempunyai mukjizat-mukjizat.

Untuk pengetahuan, nama Nabi Musa a.s. di dalam Al-Quran disebut sebanyak 136 kali lebih banyak daripada nama Nabi Isa (Jesus), bahkan kisah yang paling banyak diceritakan di dalam Al-Quran adalah kisah Nabi Musa a.s iaitu sebanyak 124 tempat. Adakah kerana lebih banyaknya nama Nabi Musa berbanding nama Nabi Muhammad menunjukkan Al-Quran lebih mengutamakan Musa dari Isa dan dari Muhammad? Tentu tidak sama sekali.

Nabi Muhammad s.a.w datang untuk tujuan yang mulia, bukan untuk menjatuhkan atau merendahkan mana-mana nabi sebelumnya. Tidak sama sekali. Mari lihat apa kata firman Allah dalam Al-Quran:

قُولُوا آمَنَّا بِاللَّهِ وَمَا أُنْزِلَ إِلَيْنَا وَمَا أُنْزِلَ إِلَى إِبْرَاهِيمَ وَإِسْمَاعِيلَ وَإِسْحَاقَ وَيَعْقُوبَ وَالأسْبَاطِ وَمَا أُوتِيَ مُوسَى وَعِيسَى وَمَا أُوتِيَ النَّبِيُّونَ مِنْ رَبِّهِمْ لا نُفَرِّقُ بَيْنَ أَحَدٍ مِنْهُمْ وَنَحْنُ لَهُ مُسْلِمُونَ (١٣٦)

“Katakanlah (Wahai orang-orang yang beriman): "Kami beriman kepada Allah, dan kepada apa yang diturunkan kepada Kami (Al-Quran), dan kepada apa yang diturunkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dan Nabi Ishak dan Nabi Yaakub serta anak-anaknya, dan juga kepada apa yang diberikan kepada Nabi Musa (Taurat) dan Nabi Isa (Injil), dan kepada apa yang diberikan kepada Nabi-nabi dari Tuhan mereka; Kami tidak membeza-bezakan antara seseorang dari mereka (sebagaimana yang kamu - Yahudi dan Nasrani - membeza-bezakannya); dan Kami semua adalah Islam (berserah diri, tunduk taat) kepada Allah semata-mata".” (Al-Baqarah: 136) (Selesai)

Kenyataan dari whatsapp: Keduanya, saya tidak melihat nama wanita lain dalam Quran kecuali nama Mariam (Ibu Yesus). Bab 3 Quran menceritakan keluarga dan latar belakang Mariam. Dan bab 19 Quran juga diberi nama “Mariam”.  Dalam bab 3 ayat 34 juga menyatakan yang Mariam lahir bukan daripada dosa dan dia tidak pernah berdosa dan seorang yang dara sepanjang hidupnya.  Quran bab 50 ayat 23 menyatakan yang dia terangkat ke syurga. Apabila saya terus membaca bab 3 Quran ayat 45 hingga 55 terdapat 10 perkara Quran bersaksi tentang Yesus.

Ulasan saya: Memang benar apa yang disaksikan oleh Al-Quran tentang Nabi Isa (Jesus) dan Maryam Ibnu kepada Nabi Isa a.s (Jesus). Berkenaan Maryam, beliau adalah wanita yang terpilih diantara wanita-wanita diseluruh alam. Firman Allah SWT:

وَإِذْ قَالَتِ الْمَلائِكَةُ يَا مَرْيَمُ إِنَّ اللَّهَ اصْطَفَاكِ وَطَهَّرَكِ وَاصْطَفَاكِ عَلَى نِسَاءِ الْعَالَمِينَ (٤٢)

“Dan (ingatlah Wahai Muhammad) ketika malaikat berkata: "Wahai Maryam! Sesungguhnya Allah telah memilihmu, dan mensucikanmu, dan telah memilihmu (beroleh kemuliaan) melebihi perempuan-perempuan seluruh alam (yang sezaman denganmu).” (Ali Imran 3: 42)

Menurut hadis Nabi s.a.w ada 4 orang sebaik-baik wanita diseluruh alam.

Dari Anas bin Malik, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

خَيْرُ نِسَاءِ الْعَالَمِينَ أرْبَع، مَرْيَمُ بِنْتُ عِمْرَانَ، وآسِيَةُ امْرَأةُ فِرْعَوْنَ، وَخَدِيجَةُ بِنْتُ خُوَيْلِدٍ، وَفَاطِمَةُ بَنْتُ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
 
“Sebaik-baik wanita seluruh alam ada 4: Maryam binti Imran, Asiah isteri Fir’aun, Khadijah binti Khuwailid dan Fatimah bin Rasulullah s.a.w.” (HR. Ibnu Mardawaih)

Manakala berkenaan Nabi Isa a.s (Jesus) pula dinyatakan di dalam Al-Quran adalah sebagai Nabiyullah (Nabi Allah) yang mempunyai mukjizat-mukjizat seperti mana nabi-nabi lain juga ada yang diberikan mukjizat. Bukan setakat Maryam dan Nabi Isa a.s yangt disebutkan di dalam Al-Quran, bahkan hampir keseluruhan nama-nama yang terdapat dalam Bible itu juga terdapat dalam Al-Quran. Lihat  firman Allah berikut:

وَتِلْكَ حُجَّتُنَا آتَيْنَاهَا إِبْرَاهِيمَ عَلَى قَوْمِهِ نَرْفَعُ دَرَجَاتٍ مَنْ نَشَاءُ إِنَّ رَبَّكَ حَكِيمٌ عَلِيمٌ (83) وَوَهَبْنَا لَهُ إِسْحَاقَ وَيَعْقُوبَ كُلًّا هَدَيْنَا وَنُوحًا هَدَيْنَا مِنْ قَبْلُ وَمِنْ ذُرِّيَّتِهِ دَاوُودَ وَسُلَيْمَانَ وَأَيُّوبَ وَيُوسُفَ وَمُوسَى وَهَارُونَ وَكَذَلِكَ نَجْزِي الْمُحْسِنِينَ (84) وَزَكَرِيَّا وَيَحْيَى وَعِيسَى وَإِلْيَاسَ كُلٌّ مِنَ الصَّالِحِينَ (85) وَإِسْمَاعِيلَ وَالْيَسَعَ وَيُونُسَ وَلُوطًا وَكُلًّا فَضَّلْنَا عَلَى الْعَالَمِينَ

“Dan itulah hujah (bukti) kami, yang Kami berikan kepada Nabi Ibrahim (Abraham) untuk mengalahkan kaumnya. Kami tinggikan pangkat-pangkat kedudukan sesiapa yang Kami kehendaki. Sesungguhnya Tuhanmu Maha Bijaksana, lagi Maha mengetahui. Dan Kami telah kurniakan kepada Nabi Ibrahim: (anaknya) Ishak (Isaac) (dari isterinya Sarah), dan (cucunya) Yaakub (Jacob). Tiap-tiap seorang (dari mereka) Kami telah berikan petunjuk, dan Nabi Nuh (Noah) juga Kami telah berikan petunjuk dahulu sebelum itu; Dan dari keturunan Nabi Ibrahim itu (ialah Nabi-nabi): Daud (David), dan Sulaiman (Solomon), dan Ayub (Job), dan Yusuf (Joseph), dan Musa (Moses), dan Harun (Aaron). Dan demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amal perbuatannya. Dan (dari keturunannya juga ialah Nabi-nabi): Zakaria (Zechariah), dan Yahya (John), dan Isa (Jesus), dan Ilyas (Elias); semuanya dari orang-orang yang soleh. Dan (dari keturunannya juga ialah Nabi-nabi): Ismail (Ishmael), dan Alyasak (Elisha) dan Yunus (Jonah), dan Lut (Lot); Dan mereka itu semuanya, Kami lebihkan darjat mereka atas umat-umat (yang ada pada zamannya).” (Al-An’am: 83-86)

Selesai bahagian pertama.