Tuesday, May 10, 2016

ANSELM TURMEDA PADERI YANG MEMELUK ISLAM

Firman Allah SWT:

(Yang bermaksud) “Dan jika kamu (Muhammad) berada dalam keraguan tentang apa yang Kami turunkan kepadamu, maka tanyakanlah kepada orang-orang yang membaca kitab sebelum kamu.  Sesungguhnya telah datang kebenaran kepadamu daripada Tuhanmu, sebab itu janganlah sekali-kali kamu termasuk orang-orang yang ragu.” (Surah Yunus 10: 94)

Alkitab, Perjanjian Baru menyatakan tentang kedatangan Penolong atau Penghibur (Paraclete) atau Roh Kebenaran:

“Aku sudah memberitahu kamu semuanya ini supaya kamu tidak kecewa sehingga tidak lagi percaya kepadaku.  Mereka akan melarang kamu masuk ke saumaah. Akan tiba masanya sesiapa yang membunuh kamu menyangka bahawa dengan perbuatan itu dia mengabdi kepada Allah.  Mereka akan melakukan perkara-perkara ini terhadap kamu, kerana mereka belum mengenal Bapa atau pun aku.  Tetapi sekarang aku sudah mengatakan semuanya ini kepada kamu, supaya kamu akan ingat bahawa aku sudah memberitahu kamu.  Aku tidak memberitahu  kamu hal ini daripada permulaan kerana aku masih bersama-sama kamu.  Tetapi sekarang aku akan pergi kepada Dia yang mengutus aku, tetapi tidak seorang pun daripada kamu bertanya, ‘Ke mana Guru mahu pergi?’.  Sekarang kamu bersedih kerana aku memberitahu kamu hal ini.  Tetapi apa yang aku katakan kepadamu benar: Untuk kebaikan kamu, lebih baik aku pergi.  Jika aku tidak pergi, Penolong itu tidak akan datang kepada kamu.  Tetapi jika aku pergi, aku akan mengutus dia kepadamu.  Apabila dia datang kelak, dia akan membuktikan kepada orang dunia bahawa pendapat mereka tentang dosa, tentang apa yang benar, dan hukuman Allah, semuanya salah.  Pendapat mereka tentang dosa salah kerana mereka tidak percaya kepadaku.  Pendapat mereka tentang apa yang benar itu salah kerana aku pergi kepada Bapa dan kamu tidak dapat melihat aku.  Pendapat mereka tentang hukuman Allah pun salah, kerana penguasa dunia ini sudah dihukum.  Banyak lagi yang hendak aku katakan kepada kamu, tetapi sekarang ini kamu belum sanggup menerimanya.  Tetapi apabila Roh yang menunjukkan apa yang benar itu datang, Roh akan membimbing kamu supaya tahu segala kebenaran itu.  Roh tidak akan mengatakan apa-apa mengikut kehendaknya sendiri.  Dia akan mengatakan apa yang didengarnya dan memberitahu kamu perkara-perkara yang akan berlaku.  Roh akan memuliakan aku kerana apa yang dinyatakan oleh Roh kepada kamu, diterima daripada aku.  Itulah sebabnya aku katakan bahawa apa yang disampaikan oleh Roh kepada kamu diterima daripada aku.” (Yohanes 16: 1-15)

ANSELM TURMEDA PADERI YANG MEMELUK ISLAM

Sepanjang sejarah, terdapat ramai sarjana-sarjana Kristian yang akhirnya mengakui kebenaran ramalan Jesus (a.s.) dan bahawa ia sebenarnya merujuk kepada nabi Muhammad (s.a.w.). 

Anselm Turmeda, seorang paderi dan sarjana Kristian, adalah salah seorang daripadanya.  Setelah mengenali nabi terakhir Tuhan  dan menganut Islam, beliau menulis sebuah buku yang terkenal bertajuk “Tuhfat al-arib fi al-raad ‘ala Ahl al-Salib”. 

Di dalam pendahuluan buku ini, beliau menceritakan sejarahnya:

“Saya berasal dari bandar Marjoca (*)  yang merupakan sebuah bandar besar di laut yang terletak di antara dua gunung dan dipisahkan oleh sebuah lembah.  Ia adalah badar perdagangan dengan dua pelabuhan.  Kapal-kapal dagang yang besar berlabuh di sini dan membawa berbagai barangan.  Bandar ini terletak di sebuah pulau dengan nama yang  sama, iaitu  Marjoca, dan kebanyakan daripada tanahnya ditumbuhi oleh pohon ara dan pohon zaitun. 

Ayah saya adalah seorang yang dihormati di bandar tersebut.  Saya adalah anak lelaki tunggalnya.  Semasa saya berusia enam tahun, beliau menghantar saya kepada seorang paderi yang mengajar saya membaca Gospel dan mantik, dan saya selesai mempelajarinya dalam masa enam tahun.  Selepas itu saya meninggalkan Majorca dan mengembara ke bandar Larda yang terletak di daerah Castillion yang merupakan pusat pembelajaran Kristian pada masa itu. 

Di antara seribu hingga seribu lima ratus pelajar-pelajar Kristian berkumpul di situ.  Semuanya di bawah pengurusan seorang paderi yang mengajar mereka.  Saya mempelajari Gospel dan bahasanya selama empat tahun lagi.  Selepas itu saya pergi ke Bologne di daerah Anabrdia.  Bologne adalah sebuah bandar besar, memandangkan ia adalah pusat pembelajaran semua orang di kawasan tersebut.  Setiap tahun, lebih daripada dua ribu pelajar dari berbagai tempat berkumpul di sini.  Mereka memakai pakaian kasar yang dipanggil “Warna Tuhan”.

Kesemuanya, sama ada anak seorang buruh atau anak seorang pemerintah memakai pakaian ini supaya mereka tidak berlainan daripada yang lain.  Hanya paderi yang mengawal dan mengarah mereka.  Saya tinggal di gereja ini dengan seorang paderi yang telah berumur.  Beliau amat dihormati oleh orang ramai disebabkan ilmunya, agamanya dan kezahidannya yang membezakannya daripada paderi-paderi Kristian lain.  Soalan dan permintaan datang dari serta tempat, daripada Raja-raja dan pemerintah-pemerintah, bersama dengan hadiah-hadiah.  Mereka berharap agar beliau akan menerima hadiah tersebut dan memberkati mereka.  Paderi ini mengajar saya prinsip-prinsip dan peraturan-peraturan agama  Kristian. 

Saya menjadi rapat kepadanya  semasa berkhidmat dan membantunya dalam tugas-tugasnya sehinggalah saya menjadi pembantu yang amat dipercayainya, sehinggakan beliau mengamanahkan kunci tempat tinggalnya di gereja, dan stor makan dan minuman.  Beliau hanya menyimpan kunci bilik kecil di   mana beliau tidur.  Saya rasa, dan Allah lebih mengetahui, bahawa beliau menyimpan peti hartanya di situ. 

Saya adalah seorang pelajar dan orang suruhannya untuk tempoh sepuluh tahun, kemudian beliau jatuh sakit dan tidak dapat menghadiri mesyuarat bersama  paderi-paderi lain.  Semasa ketiadaannya, paderi-paderi tersebut membincangkan beberapa hal agama sehingga mereka tiba kepada firman Allah Yang Maha Berkuasa melalui nabinya Jesus di dalam Gospel: “Selepasnya akan datang seorang Nabi digelar Paraclete”.  

Mereka banyak berdebat mengenai Nabi ini dan siapakah beliau di kalangan Nabi-nabi.  Setiap orang memberikan pendapatnya menurut pengetahuan dan kefahamannya; dan mereka berakhir dengan tidak mendapat apa-apa manfaat daripada isu ini.  Saya pergi menemui paderi saya dan seperti biasa, beliau bertanya mengenai apa yang dibincangkan dalam mesyuarat hari itu. 

Saya memberitahu beliau mengenai perbezaan pendapat mereka mengenai Paraclete, dan bagaimana mereka mengakhiri mesyuarat tersebut tanpa dapat menjelaskan maknanya.  Beliau bertanya saya: “Apakah jawapanmu?”.  Saya memberikan pendapat saya yang diambil daripada tafsir yang terkenal.  Beliau berkata bahawa saya hampir betul seperti beberapa paderi, dan paderipaderi lain salah. 

“Tetapi hal sebenarnya adalah lain daripada semua itu.  Ini adalah kerana tafsiran nama yang mulia itu hanya diketahui oleh segolongan kecil sarjana-sarjana yang mahir.  Dan kita hanya memiliki sedikit ilmu.”.  Saya melutut dan mencium kakinya dan berkata: “Tuan, anda tahu yang saya  mengembara dan datang ke sini dari negara yang jauh, saya telah berkhidmat untuk tuan selama lebih sepuluh tahun, dan telah memperolehi banyak ilmu, jadi tolonglah beritahu saya perkara sebenar mengenai nama ini.”. 

Paderi tersebut menangis dan berkata: “Anakku, demi Tuhan, kau lebih kusayangi kerana telah berkhidmat denganku dan menjagaku.  Ketahuilah kebenaran mengenai nama ini, dan ada ganjaran yang besar, tetapi ada juga bahaya yang besar.  Dan aku bimbang jika kau mengetahui kebenaran ini, dan penganut-penganut Kristian tahu mengenai hal ini, kau akan dibunuh serta-merta.  Saya berkata: “Demi tuhan, demi Gospel dan Dia yang menurunkannya, saya tidak akan menceritakan apa-apa daripada apa yang tuan beritahu saya, saya akan simpan dalam hati saya”.  Beliau berkata: “Anakku, semasa kau datang dari negaramu, aku bertanya jika ia dekat dengan golongan Muslim, dan sama ada mereka menyerangmu dan jika kamu menyerang mereka.  Ini adalah untuk menguji sama ada kamu membenci Islam.  Ketahuilah anakku, bahawa Paraclete adalah nama nabi mereka Muhammad, yang kepadanya diturunkan kitab keempat seperti yang disebut oleh Danial.  Jalannya adalah jalan yang benar yang disebut di dalam Gospel.”. 

Saya berkata: “Maka tuan, apakah pendapat tuan mengenai agama Kristian?”.  Beliau berkata: “Anakku, jika Kristian masih agama asal Jesus, maka mereka menganut agama Tuhan kerana agama Jesus dan semua nabi-nabi lain adalah agama sebenar Tuhan.  Tetapi mereka mengubahnya dan menjadi kafir.”.  Saya bertanya: “Jadi tuan, bagaimanakah  menyelamatkan diri daripadanya?”.  Beliau berkata: “Anakku, anutilah Islam”.  Saya bertanya: “Adakah apabila menganut Islam saya akan selamat?”.  Beliau menjawab: “Ya, di dunia ini dan dunia berikut.”.  Saya berkata: “Tuan tahu yang orang yang berhati-hati  memilih dengan teliti untuk dirinya; jika tuan tahu kebaikan Islam, apakah yang menjauhkan tuan daripadanya?”.  Beliau menjawab: “Anakku, Tuhan tidak mendedahkan kepadaku kebenaran Islam dan Nabi Islam sehinggalah aku telah tua dan badanku lemah.  Ya, ini  bukanlah alasan, sebaliknya adalah bukti Allah terhadap kita.  Jika Tuhan telah membimbingku ketika aku sebaya denganmu, aku telah pun meninggalkan segalagalanya dan menganut agama yang benar ini.  Kecintaan terhadap dunia adalah asas setiap dosa, dan lihat bagaimana aku telah dihormati dan dimuliakan oleh penganut-penganut Kristian, dan bagaimana aku hidup dalam kemewahan dan selesa!  Bagiku, jika aku menunjukkan sedikit kecenderungan terhadap Islam mereka akan membunuhku dengan serta-merta.  Kalaupun aku terselamat dan berjaya melarikan diri kepada umat Islam, mereka akan berkata, jangan ingat keislamanmu menguntungkan kamu, sebaliknya kamu telah beruntung dengan menganut agama yang benar, agama yang akan menyelamatkan kamu dari hukuman Allah!  Jadi aku  akan hidup di kalangan mereka selama lebih sembilan puluh tahun, tanpa memahami bahasa mereka dan mati kelaparan di kalangan mereka.
Segala puji bagi Allah, aku berada dalam agama Kristus dan apa yang dibawanya, dan Allah mengetahuinya.”.  Jadi saya bertanya: “Adakah tuan menasihati saya supaya pergi ke negara umat Islam dan menganut agama mereka?”.  Beliau berkata: “Jika kamu bijak dan mahu menyelamatkan dirimu, maka bersegeralah kepada apa yang akan menyelamatkanmu di dunia dan di akhirat.  Tetapi anakku, hal ini hanya di antara kita berdua.  Kawal dirimu dan rahsiakannya.  Jika ia didedahkan dan orang ramai tahu mengenainya, mereka akan membunuhmu serta-merta.  Aku tidak dapat menolongmu.  Tidak guna juga untukmu memberitahu mereka bahawa kamu mendapat  tahu mengenai Islam daripadaku, atau bahawa aku menggalakkanmu menganut Islam kerana aku akan menafikannya.  Mereka akan mempercayai pengakuanku daripada pengakuanmu.  Jadi, walau apa pun berlaku, jangan ceritakan apa-apa.”.  Saya berjanji tidak akan menceritakannya.  Beliau berpuas hati dengan janji saya.  Saya bersiap sedia untuk perjalanan saya dan mengucapkan selamat tinggal kepadanya.  Beliau mendoakan saya dan memberikan saya lima puluh dinar emas.  Kemudian saya menaiki kapal ke bandar Majorca dan tinggal bersama ibu bapa saya selama enam bulan.  Kemudian saya mengembara ke Sicily dan tinggal di sana selama lima bulan sementara menanti kapal yang akan menuju ke negara umat Islam.  Akhirnya sebuah kapal yang menuju ke Tunis tiba.  Kami bertolak sebelum  senja dan tiba di Tunis pada tengah hari kedua.  Setelah saya turun dari kapal, sarjana-sarjana Kristian yang tahu mengenai kedatangan saya menyambut saya dan saya tinggal bersama mereka selama empat bulan dengan selesa.  Selepas itu, saya bertanya mereka  jika ada penterjemah.  Sultan pada masa itu adalah Abu al-Abbas Ahmed.  Mereka berkata terdapat seorang baik dan merupakan doktor kepada Sultan dan juga salah seorang penasihatnya yang rapat.  Namanya adalah Yusuf al-Tabeeb.  Saya amat gembira mendengar hal ini dan bertanya di mana beliau tinggal.  Mereka membawa saya bertemunya secara berasingan.  Saya menceritakan  kisah saya kepadanya dan sebab kedatangan saya, iaitu untuk memeluk Islam.  Beliau amat gembira kerana hal ini akan diselesaikan dengan bantuannya.  Kami menunggang ke istana Sultan.  Beliau mengadap Sultan dan menceritakan kisah saya dan meminta kebenarannya untuk membawa saya mengadap baginda.  Baginda berkenan dan saya mengadapnya.  Soalan pertama yang ditanya baginda adalah usia saya.  Saya  memberitahu yang saya berumur tiga puluh lima tahun.  Baginda bertanya saya mengenai pelajaran dan sains yang saya pelajari.  Selepas itu baginda berkata, “Kedatanganmu membawa kebaikan.  Jadilah seorang Muslim dengan berkat daripada Allah.”.  Kemudian saya berkata kepada doktor tersebut, “Beritahu Sultan bahawa biasanya apabila seseorang menukar agamanya, kaumnya akan memfitnahnya dan memburuk-burukkannya.  Jadi, saya ingin supaya baginda memanggil paderi-paderi dan pedagang-pedagang Kristian di bandar ini dan tanyakan kepada mereka tentang diri saya dan dengar apa yang mereka kata.  Kemudian, dengan izin Allah, saya akan memeluk Islam.  Beliau bertitah melalui penterjemah tersebut, “Kamu telah meminta apa yang diminta olah Abdullah ibn Salam daripada Nabi  ketika beliau pergi untuk menganut Islam?  Baginda kemudiannya memanggil paderi-paderi tersebut dan beberapa pedagang Kristian dan menyuruh saya duduk di bilik bersebelahan tanpa dilihat oleh mereka.  “Apakah pendapat kamu mengenai paderi yang baru tiba  dengan kapal?”, tanya baginda.  Mereka berkata, “Beliau adalah seorang ulama besar agama kami.  Biskop-biskop kami berkata bahawa beliau adalah seorang yang alim dan tiada sesiapa yang dapat menandingi pengetahuan agamanya.”.  Setelah mendengar pengakuan  ini, Sultan memanggil saya, dan saya muncul di hadapan mereka lalu mengucap dua kalimah syahadah bahawa tiada yang layak disembah melainkan Allah dan bahawa Muhammad adalah utusanNya, dan apabila mereka mendengarnya, mereka marah lalu berkata, “Tiada apa  yang mendorongnya berbuat demikian, melainkan keinginannya untuk berkahwin kerana paderi agama kami dilarang berkahwin.”.  Mereka pergi dengan rasa marah dan sedih.  Sultan melantik saya ke suatu jawatan dengan bayaran suku dinar dari perbendaharaan dan mengahwinkan saya dengan anak perempuan Al-Hajj Muhammed al-Saffar.  Apabila saya mengambil keputusan untuk menyempurnakan perkahwinan tersebut, baginda menghadiahkan saya seratus dinar emas dan sepersalinan pakaian yang bagus.  Saya menyempurnakan perkahwinan tersebut dan Tuhan menganugerahkan saya seorang anak yang saya namakan Muhammad sempena nama Nabi.”



(*) Marjoca adalah sebuah pulau di Sepanyal yang terletak di barat Laut Mediterranean berhampiran dengan pantai timur tanah besar.  Ia adalah pulau terbesar di Kepulauan Balearic, dan adalah kerajaan yang bebas di antara 1276 hingga 1343.

No comments:

Post a Comment