Thursday, April 23, 2015

TENTANG JESUS ANAK TUHAN? (Bahagian 1)

ULASAN ATAS KENYATAAN DARI WHATSAPP (TENTANG JESUS ANAK TUHAN?)

(Bahagian 1)

Ulasan oleh: Mohd Safwan bin Mohd Rusydi


Berikut ini saya tuliskan ulasan dari kenyataan dalam whatsapp yang menyentuh tentang agama Islam dan Kristian. Saya akan cuba menjawab dalam bentuk penjelasan dari setiap kenyataan dari whatsapp sebagai jawapan ke atas kenyataan tersebut. Setiap penjelasan mengenai satu atau beberapa kenyataan akan diakhiri dengan kata (selesai) dalam kurungan.

Kenyataan dari whatsapp: “Di sini ada kesaksian seorang bekas Imam dalam sebuah Masjid tentang Yesus Kristus.”

Ulasan saya: Siapa nama Imam tersebut tidak dinyatakan? Boleh jadi kisah ini hanyalah rekaan semata-mata. (Selesai)

Kenyataan dari whatsapp: “Sebagai seorang Imam dalam Masjid bagi umat Islam, saya selalu berkuthbah tentang Allah iaitu Allah adalah Satu dan Yesus itu bukan Anak Allah kerana Allah tidak pernah kahwin dan tidak mungkin Allah itu mempunyai anak.

Ulasan saya: Berkenaan Tuhan itu satu, bukan sahaja ajaran umat Islam, bahkan ia merupakan ajaran Nabi Musa a.s dan nabi-nabi terdahulu yang terkandung dalam Alkitab (perjanjian lama) itu sendiri:

“Sebab itu ketahuilah pada hari ini dan camkanlah, bahawa Tuhanlah Allah yang di langit di atas dan di bumi di bawah, tidak ada yang lain” Ulangan 4:39.

“Kamu inilah saksi-saksiKu”, demikianlah firman  TUHAN, “dan hambaku yang telah Kupilih, supaya kamu tahu dan percaya kepadaKu dan mengerti, bahawa Aku tetap Dia.  Sebelum Aku tidak ada Allah dibentuk, dan sesudah Aku tidak akan ada lagi.  Aku, Akulah TUHAN dan tidak ada juru selamat selain daripadaKu” Yesaya 43:10-11.

Lihat kata, “Tidak ada juru selamat selain daripadaKu” ertinya segala keselamatan adalah dengan mempercayai hanya Dialah Tuhan (yang satu). Ini kerana tidak ada sebuah pernyataan pun yang menyatakan Tuhan itu triniti dalam perjanjian lama. Bertentangan dengan perjanjian baru yang menyatakan Jesus diutuskan sebagai penghapus dosa warisan (nabi Adam), namun tidak dijelaskan sama sekali sebarang peranan kedatangan Jesus tersebut dalam perjanjian lama.

“Beginilah firman TUHAN, Raja dan Penebus Israel, TUHAN semesta alam: “Akulah yang terdahulu dan Akulah yang terkemudian; tidak ada Allah selain daripadaKu” Yesaya 44:6.

Dalam Al-Quran juga Allah menjelaskan dengan makna yang serupa (semakna) dengan ayat ‘Akulah yang terdahulu dan Akulah yang terkemudian’, firman Allah:

هُوَ الأوَّلُ وَالآخِرُ وَالظَّاهِرُ وَالْبَاطِنُ وَهُوَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ (٣)

“Dia lah yang Awal dan yang Akhir; dan yang zahir serta yang Batin; dan Dialah yang Maha
mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.” (Al-Hadid 57: 3)

Nabi Muhammad s.a.w menyatakan kepada Tuhannya:

اللهم أنت الأول فليس قبلك الشيء وأنت الآخر فليس بعدك الشيء وأنت الظاهر فليس فوقك الشيء وأنت الباطن فليس دونك الشيء

“Ya Allah, Engkaulah yang Awal yang tiada sesuatu pun (wujud) sebelumMu, Engkaulah yang Akhir yang tiada sesuatu pun sesudahMu, Engkaulah yang Zahir yang tiada sesuatupun di atasMu, dan Engkaulah yang Batin yang tiada sesuatu pun yang dapat menghalangiMu.” (HR. Muslim)

Di Antara dalil daripada Alkitab (bible) lagi:

“Supaya orang tahu dari terbitnya matahari sampai terbenamnya, bahawa tidak ada yang lain di luar Aku.  Akulah TUHAN dan tidak ada yang lain”  Yesaya 45:6.

Lihat kata, “bahawa tidak ada yang lain di luar Aku.” Apakah maksud diluar Aku? Bukankah Jesus (Nabi Isa a.s) itu berada diluar Allah?

Bahkan perkataan tuhan itu esa dalam bible juga jelas dalam Ulangan bab 6, ayat 4,

“Dengarlah, hai orang Israel: TUHAN itu Allah kita, TUHAN itu Esa.” Yakni Tuhan itu satu. (Selesai)

Kenyataan dari whatsapp: Tetapi pada suatu hari ada seseorang yang berada di kalangan umat Islam bertanya kepada saya  “Siapakah Yesus (Isa) ?”  kerana selalu saya menyatakan yang Yesus itu bukan Allah. Jadi persoalannya siapakah Yesus (Isa) ?  “Demi mencari jawapan persoalan tersebut, saya sebagai Imam terpaksa membaca semula Quran tentang  “Siapakah Yesus ?”  Terdapat 114 bab dan 6666 kali nama Nabi Muhammad muncul di 4 bab Quran tetapi Nama Yesus muncul di 25 bab Quran. Saya berasa keliru kerana bagaimana mungkin Quran memberi lebih keutamaan kepada Yesus berbanding Nabi Muhammad ?

Ulasan saya: Memang benar nama Jesus lebih banyak disebut dalam Quran berbanding nama  Muhammad. Namun adakah menyatakan Jesus sebagai Tuhan atau Anak Tuhan atau hanya menyatakan bahawa Jesus (Nabi Isa a.s) merupakan seorang Nabi yang lahir dengan kalimat Allah yang ditiupkan ke atas ibunya Maryam, yang mempunyai mukjizat-mukjizat sepertimana juga Nabi-nabi sebelumnya yang juga mempunyai mukjizat-mukjizat.

Untuk pengetahuan, nama Nabi Musa a.s. di dalam Al-Quran disebut sebanyak 136 kali lebih banyak daripada nama Nabi Isa (Jesus), bahkan kisah yang paling banyak diceritakan di dalam Al-Quran adalah kisah Nabi Musa a.s iaitu sebanyak 124 tempat. Adakah kerana lebih banyaknya nama Nabi Musa berbanding nama Nabi Muhammad menunjukkan Al-Quran lebih mengutamakan Musa dari Isa dan dari Muhammad? Tentu tidak sama sekali.

Nabi Muhammad s.a.w datang untuk tujuan yang mulia, bukan untuk menjatuhkan atau merendahkan mana-mana nabi sebelumnya. Tidak sama sekali. Mari lihat apa kata firman Allah dalam Al-Quran:

قُولُوا آمَنَّا بِاللَّهِ وَمَا أُنْزِلَ إِلَيْنَا وَمَا أُنْزِلَ إِلَى إِبْرَاهِيمَ وَإِسْمَاعِيلَ وَإِسْحَاقَ وَيَعْقُوبَ وَالأسْبَاطِ وَمَا أُوتِيَ مُوسَى وَعِيسَى وَمَا أُوتِيَ النَّبِيُّونَ مِنْ رَبِّهِمْ لا نُفَرِّقُ بَيْنَ أَحَدٍ مِنْهُمْ وَنَحْنُ لَهُ مُسْلِمُونَ (١٣٦)

“Katakanlah (Wahai orang-orang yang beriman): "Kami beriman kepada Allah, dan kepada apa yang diturunkan kepada Kami (Al-Quran), dan kepada apa yang diturunkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dan Nabi Ishak dan Nabi Yaakub serta anak-anaknya, dan juga kepada apa yang diberikan kepada Nabi Musa (Taurat) dan Nabi Isa (Injil), dan kepada apa yang diberikan kepada Nabi-nabi dari Tuhan mereka; Kami tidak membeza-bezakan antara seseorang dari mereka (sebagaimana yang kamu - Yahudi dan Nasrani - membeza-bezakannya); dan Kami semua adalah Islam (berserah diri, tunduk taat) kepada Allah semata-mata".” (Al-Baqarah: 136) (Selesai)

Kenyataan dari whatsapp: Keduanya, saya tidak melihat nama wanita lain dalam Quran kecuali nama Mariam (Ibu Yesus). Bab 3 Quran menceritakan keluarga dan latar belakang Mariam. Dan bab 19 Quran juga diberi nama “Mariam”.  Dalam bab 3 ayat 34 juga menyatakan yang Mariam lahir bukan daripada dosa dan dia tidak pernah berdosa dan seorang yang dara sepanjang hidupnya.  Quran bab 50 ayat 23 menyatakan yang dia terangkat ke syurga. Apabila saya terus membaca bab 3 Quran ayat 45 hingga 55 terdapat 10 perkara Quran bersaksi tentang Yesus.

Ulasan saya: Memang benar apa yang disaksikan oleh Al-Quran tentang Nabi Isa (Jesus) dan Maryam Ibnu kepada Nabi Isa a.s (Jesus). Berkenaan Maryam, beliau adalah wanita yang terpilih diantara wanita-wanita diseluruh alam. Firman Allah SWT:

وَإِذْ قَالَتِ الْمَلائِكَةُ يَا مَرْيَمُ إِنَّ اللَّهَ اصْطَفَاكِ وَطَهَّرَكِ وَاصْطَفَاكِ عَلَى نِسَاءِ الْعَالَمِينَ (٤٢)

“Dan (ingatlah Wahai Muhammad) ketika malaikat berkata: "Wahai Maryam! Sesungguhnya Allah telah memilihmu, dan mensucikanmu, dan telah memilihmu (beroleh kemuliaan) melebihi perempuan-perempuan seluruh alam (yang sezaman denganmu).” (Ali Imran 3: 42)

Menurut hadis Nabi s.a.w ada 4 orang sebaik-baik wanita diseluruh alam.

Dari Anas bin Malik, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

خَيْرُ نِسَاءِ الْعَالَمِينَ أرْبَع، مَرْيَمُ بِنْتُ عِمْرَانَ، وآسِيَةُ امْرَأةُ فِرْعَوْنَ، وَخَدِيجَةُ بِنْتُ خُوَيْلِدٍ، وَفَاطِمَةُ بَنْتُ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
 
“Sebaik-baik wanita seluruh alam ada 4: Maryam binti Imran, Asiah isteri Fir’aun, Khadijah binti Khuwailid dan Fatimah bin Rasulullah s.a.w.” (HR. Ibnu Mardawaih)

Manakala berkenaan Nabi Isa a.s (Jesus) pula dinyatakan di dalam Al-Quran adalah sebagai Nabiyullah (Nabi Allah) yang mempunyai mukjizat-mukjizat seperti mana nabi-nabi lain juga ada yang diberikan mukjizat. Bukan setakat Maryam dan Nabi Isa a.s yangt disebutkan di dalam Al-Quran, bahkan hampir keseluruhan nama-nama yang terdapat dalam Bible itu juga terdapat dalam Al-Quran. Lihat  firman Allah berikut:

وَتِلْكَ حُجَّتُنَا آتَيْنَاهَا إِبْرَاهِيمَ عَلَى قَوْمِهِ نَرْفَعُ دَرَجَاتٍ مَنْ نَشَاءُ إِنَّ رَبَّكَ حَكِيمٌ عَلِيمٌ (83) وَوَهَبْنَا لَهُ إِسْحَاقَ وَيَعْقُوبَ كُلًّا هَدَيْنَا وَنُوحًا هَدَيْنَا مِنْ قَبْلُ وَمِنْ ذُرِّيَّتِهِ دَاوُودَ وَسُلَيْمَانَ وَأَيُّوبَ وَيُوسُفَ وَمُوسَى وَهَارُونَ وَكَذَلِكَ نَجْزِي الْمُحْسِنِينَ (84) وَزَكَرِيَّا وَيَحْيَى وَعِيسَى وَإِلْيَاسَ كُلٌّ مِنَ الصَّالِحِينَ (85) وَإِسْمَاعِيلَ وَالْيَسَعَ وَيُونُسَ وَلُوطًا وَكُلًّا فَضَّلْنَا عَلَى الْعَالَمِينَ

“Dan itulah hujah (bukti) kami, yang Kami berikan kepada Nabi Ibrahim (Abraham) untuk mengalahkan kaumnya. Kami tinggikan pangkat-pangkat kedudukan sesiapa yang Kami kehendaki. Sesungguhnya Tuhanmu Maha Bijaksana, lagi Maha mengetahui. Dan Kami telah kurniakan kepada Nabi Ibrahim: (anaknya) Ishak (Isaac) (dari isterinya Sarah), dan (cucunya) Yaakub (Jacob). Tiap-tiap seorang (dari mereka) Kami telah berikan petunjuk, dan Nabi Nuh (Noah) juga Kami telah berikan petunjuk dahulu sebelum itu; Dan dari keturunan Nabi Ibrahim itu (ialah Nabi-nabi): Daud (David), dan Sulaiman (Solomon), dan Ayub (Job), dan Yusuf (Joseph), dan Musa (Moses), dan Harun (Aaron). Dan demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amal perbuatannya. Dan (dari keturunannya juga ialah Nabi-nabi): Zakaria (Zechariah), dan Yahya (John), dan Isa (Jesus), dan Ilyas (Elias); semuanya dari orang-orang yang soleh. Dan (dari keturunannya juga ialah Nabi-nabi): Ismail (Ishmael), dan Alyasak (Elisha) dan Yunus (Jonah), dan Lut (Lot); Dan mereka itu semuanya, Kami lebihkan darjat mereka atas umat-umat (yang ada pada zamannya).” (Al-An’am: 83-86)

Selesai bahagian pertama.


No comments:

Post a Comment