Thursday, April 23, 2015

TENTANG JESUS ANAK TUHAN? (Bahagian 2)



ULASAN ATAS KENYATAAN DARI WHATSAPP (TENTANG JESUS ANAK TUHAN?)



(Bahagian 2)

Ulasan oleh: Mohd Safwan bin Mohd Rusydi
 
Kenyataan dari whatsapp:
 
Perkara 1,
Yesus adalah “Kallimatulli” bermaksud “yang berasal daripada Allah”.
 
Perkara 2,
Yesus adalah “Ahimokuli” yang bermaksud “Roh daripada Allah”.
 
Perkara 3,
Yesus adalah “Isa Masi” yang bermaksud “Yesus Penebus”.
 
 
Ulasan saya: Perkara 1, Yang sebenarnya “Kalimatullah” bukannya “Kalimatulli” kesalahan tersebut mungkin akibat dari tidak mahir membaca tulisan arab dengan benar atau mungkin ianya sebagai cubaan untuk menterjemahkan sendiri pernyataan “Kalimat yang berasal dari saya” sehingga jadilah “Kalimatulli”, namun perkataan itu tiada dalam Al-Quran.
 
Berkenaan “Kalimatullah” dijelaskan dalam firman Allah berikut:
 
إِذْ قَالَتِ الْمَلَائِكَةُ يَا مَرْيَمُ إِنَّ اللَّهَ يُبَشِّرُكِ بِكَلِمَةٍ مِنْهُ اسْمُهُ الْمَسِيحُ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ وَجِيهًا فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَمِنَ الْمُقَرَّبِينَ
 
“(Ingatlah) ketika malaikat berkata: "Wahai Maryam! Bahawasanya Allah memberikan khabar yang mengembirakanmu, dengan (mengurniakan seorang anak yang engkau akan kandungkan semata-mata dengan) kalimah daripada Allah, nama anak itu: Al-Masih, Isa Ibni Maryam, seorang yang terkemuka di dunia dan di akhirat, dan ia juga dari orang-orang yang didampingkan (diberi kemuliaan di sisi Allah).” (Ali Imran 3: 45)
 
Supaya tidak disalahfahami oleh orang Kristian, kalimatullah (sekali lagi bukan kalimatulli) adalah kalimah Allah bermaksud Nabi Isa (Jesus) dijadikan daripada kalimah “KUN” yang bermaksud “Jadilah engkau” sama sepertimana Nabi Adam yang juga dijadikan daripada kalimah “KUN” (jadilah engkau) lalu terjadilah ia (yakni Nabi Adam begitu juga Nabi Isa).
 
Firman Allah SWT:
 
قَالَتْ رَبِّ أَنَّى يَكُونُ لِي وَلَدٌ وَلَمْ يَمْسَسْنِي بَشَرٌ قَالَ كَذَلِكِ اللَّهُ يَخْلُقُ مَا يَشَاءُ إِذَا قَضَى أَمْرًا فَإِنَّمَا يَقُولُ لَهُ كُنْ فَيَكُونُ
 
“Maryam berkata: Wahai Tuhanku! Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak, padahal aku tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki pun?" Allah berfirman; "Demikianlah keadaannya, Allah menjadikan apa yang dikehendakiNya; apabila Dia berkehendak melaksanakan sesuatu perkara, maka Dia hanyalah berfirman kepadanya: ` Jadilah engkau ', lalu menjadilah ia." (Ali-Imran 3: 47)
 
Allah Ta’ala menjelaskan hakikat kejadian Nabi Isa a.s dengan membuat perbandingan yang mudah sekali, sebagaimana firmanNya:
 
إِنَّ مَثَلَ عِيسَى عِنْدَ اللَّهِ كَمَثَلِ آدَمَ خَلَقَهُ مِنْ تُرَابٍ ثُمَّ قَالَ لَهُ كُنْ فَيَكُونُ
 
“Sesungguhnya perbandingan (kejadian) Nabi Isa di sisi Allah adalah sama seperti (kejadian) Nabi Adam. Allah telah menciptakan Adam dari tanah lalu berfirman kepadanya: "Jadilah engkau!" Maka menjadilah ia.” (Ali Imran 3: 59)
 
Berkenaan Ruhullah (bukannya Aholimakulli perkataan ini juga tiada dalam Al-Quran), ia bermaksud roh yang ditiupkan kepada Maryam sehingga dia menjadi mengandung sedangkan Maryam tidak mempunyai suami. Roh yang dimaksudkan adalah roh yang sama seperti roh-roh lain yang merupakan ciptaan Allah. Diberi gelaran sebagai Ruhullah kepada Nabi Isa adalah sebagai memuliakannya. Inilah yang telah disalahfahami.
 
Firman Allah:
 
يَا أَهْلَ الْكِتَابِ لَا تَغْلُوا فِي دِينِكُمْ وَلَا تَقُولُوا عَلَى اللَّهِ إِلَّا الْحَقَّ إِنَّمَا الْمَسِيحُ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ رَسُولُ اللَّهِ وَكَلِمَتُهُ أَلْقَاهَا إِلَى مَرْيَمَ وَرُوحٌ مِنْهُ فَآمِنُوا بِاللَّهِ وَرُسُلِهِ وَلَا تَقُولُوا ثَلَاثَةٌ انْتَهُوا خَيْرًا لَكُمْ إِنَّمَا اللَّهُ إِلَهٌ وَاحِدٌ سُبْحَانَهُ أَنْ يَكُونَ لَهُ وَلَدٌ لَهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ وَكَفَى بِاللَّهِ وَكِيلًا
 
“Wahai Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani)! Janganlah kamu melampaui batas dalam perkara agama kamu, dan janganlah kamu mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar; Sesungguhnya Al-Masih Isa Ibni Maryam itu hanya seorang pesuruh Allah dan kalimah Allah yang telah disampaikanNya kepada Maryam, dan (ia juga tiupan) roh daripadaNya. Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-rasulNya, dan janganlah kamu mengatakan: "(Tuhan itu) tiga". Berhentilah (daripada mengatakan yang demikian), supaya menjadi kebaikan bagi kamu. Hanyasanya Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa, Maha suci Allah daripada mempunyai anak. Bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dan cukuplah Allah menjadi pengawal (yang mentadbirkan sekalian makhlukNya).” (An-Nisaa’ 4: 171)
 
Nabi Muhammad s.a.w juga pernah bersabda:
 
مَنْ شَهِدَ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، وَأَنَّ عِيسَى عَبْدُ اللَّهِ وَرَسُولُهُ، وَكَلِمَتُهُ أَلْقَاهَا إِلَى مَرْيَمَ وَرُوحٌ مِنْهُ، وَالجَنَّةُ حَقٌّ، وَالنَّارُ حَقٌّ، أَدْخَلَهُ اللَّهُ الجَنَّةَ عَلَى مَا كَانَ مِنَ العَمَلِ
 
“Barangsiapa yang bersaksi bahawa tiada Tuhan (yang berhak) disembah kecuali Allah semata-mata tidak ada sekutu bagiNya, dan bahawa Muhammad adalah hamba serta rasulNya, dan bahawa Isa (Jesus) hamba serta rasulNya dan kalimahNya ditiupkan kepada Maryam sedang Roh itu dariNya, Syurga itu benar (adanya), dan Neraka itu benar (adanya), maka Allah akan memasukkannya ke dalam Syurga berdasarkan amalannya.” (HR. Bukhari)
 
Masihullah (Juru selamat Allah). Nabi Isa a.s digelar sebagai Al-Masih di dalam Al-Quran lebih dari 10 tempat. Al-Masih dari perkataan bahasa Arab “Ma-sa-ha” yang bermaksud “Menyapu/mengusap” ia dikaitkan dengan perbuatan mukjizat Nabi Isa a.s yang dapat menyembuhkan penyakit orang yang sakit seperti buta dan penyakit sopak dan lain-lain lagi hanya dengan perbuatan menyapu dibahagian yang sakit lalu dengan izin Allah ia menjadi sembuh.
 
 
Keterangan dalam whatsapp: Tetapi apabila saya melihat apa yang Quran menyatakan tentang Nabi Muhammad, Quran menyatakan yang Nabi Muhammad adalah Bukan Firman daripada Allah. Dia tidak pernah memberi nyawa kepada tanah liat, tidak pernah menyembuhkan sesiapa, tidak pernah membangkitkan orang mati dan dia sendiri pun mati dan tidak akan datang kembali. Oleh itu, pada hari itu saya membuat kesimpulan bahawa Yesus adalah lebih besar daripada Nabi Muhammad dan Yesus itu tetap juga adalah nabi daripada Allah.
 
Ulasan saya: Telah dijelaskan di atas sebelum ini, Nabi Isa a.s dinamakan sebagai “Kalimatullah” di dalam Al-Quran bukan kerana baginda (Nabi Isa a.s) itu sendiri adalah firman atau tuhan. Bukan. Walaupun jika kita terjemah secara harfiah (literal) “Kalimatullah” akan bermaksud “Firman Allah”, namun perlu dilihat pada ayatnya secara menyeluruh sehingga maksud yang benar “Kalimatullah” di situ adalah “Kalimah yang berasal dari Allah” iaitu kalimah/firman Allah “KUN” yang bermaksud jadilah engkau.
 
Allah SWT menjelaskan berkenaan kuasaNya yang dikaitkan dengan takdirNya dengan berfirman:  
 
إِنَّمَا أَمْرُهُ إِذَا أَرَادَ شَيْئًا أَنْ يَقُولَ لَهُ كُنْ فَيَكُونُ

“Sesungguhnya keadaan kekuasaanNya apabila Dia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Dia berfirman kepada (hakikat) benda itu: " Jadilah engkau! ". maka ia terus menjadi.” (Yasin 36: 82)
 
Kenyataan dalam whatsapp: Pada suatu hari saya berjumpa dengan guru saya yang telah mengajar saya bahasa Arab selama 10 tahun. Saya bertanyakan “guru, bagaimanakah Allah menciptakan alam semesta ? ”  Guru menjawab bahawa Allah menciptakan semua yang ada sekarang adalah melalui Firman. Saya bertanya lagi ”guru, Firman yang dimaksudkan itu ada Pencipta atau sesuatu yang dicipta Allah ?”
 
Guru saya tiba-tiba menjadi marah kerana sekiranya dia menjawab Firman itu adalah Pencipta bermakna semua Umat Islam mesti menjadi Kristian kerana Quran menyatakan yang Yesus adalah Firman Allah.
 
Ulasan saya: Kisah sang Imam (palsu) ini nampaknya menampakkan lagi akan kejahilan dirinya tentang ajaran agama Islam.
 
Bagaimana boleh timbul persoalan firman itu ada pencipta atau sesuatu yang dicipta?! Firman itu adalah perkataan Allah bukannya makhluk. Firman Allah (Kalamullah) adalah merupakan sifatNya diantara sifat-sifatNya yang Maha Sempurna dan Allah berbicara menurut kehendakNya.
 
Firman Allah:
 
إِنَّمَا أَمْرُهُ إِذَا أَرَادَ شَيْئًا أَنْ يَقُولَ لَهُ كُنْ فَيَكُونُ
 
“Sesungguhnya keadaan kekuasaanNya apabila Dia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Dia berfirman kepada (hakikat) benda itu: " Jadilah engkau! ". maka ia terus menjadi.” (Yasin 36: 82)
 
Firman Allah adalah merupakan sifatNya, maka ia (kalamullah) bukanlah sesuatu yang dicipta bukan pula sesuatu yang terpisah dari zat Allah. Kerana Dialah yang mula-mula sekali menuturkannya maka tidak dikaitkan penyebutannya kecuali kepada orang yang mula-mula sekali mengatakannya. Contoh mudah, Ahmad menyuruh agar kanak-kanak masuk ke dalam rumah. Maka Farhan pun menyampaikan pesanan Ahmad kepada Nordin dan Nordin menyampaikan Daud dan Daud menyampaikan kepada kanak-kanak yang sedang bermain di luar rumah. Persoalannya siapa sebenarnya yang menyuruh agar masuk ke dalam rumah? Adakah Farhan, Ahmad, Nordin atau Daud? Ertinya pesanan (ucapan) tersebut milik siapa? Tentu jawabnya ianya merupakan (ucapan) milik Ahmad. Demikianlah analogi yang sangat mudah untuk difahami.
 
Akan tetapi perlu difahami, firman Allah tidaklah sama dengan ucapan manusia. Ucapan atau perkataan manusia memiliki banyak kelemahan dan kekurangan. Berbeza dengan firman Allah. Kerana itu cubaan untuk mengubah ayat-ayat Al-Quran dari dahulu hingga kini tidak ada yang berjaya melakukannya. Kerana Allah berfirman:
 
قُلْ لَئِنِ اجْتَمَعَتِ الإنْسُ وَالْجِنُّ عَلَى أَنْ يَأْتُوا بِمِثْلِ هَذَا الْقُرْآنِ لا يَأْتُونَ بِمِثْلِهِ وَلَوْ كَانَ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ ظَهِيرًا
 
“Katakanlah (Wahai Muhammad): "Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan Al-Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang sebanding dengannya, Wwlaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri".” (Al-Israa 17: 88).
 


Kenyataan dari whatsapp: Yesus adalah “Kallimatulli” bermaksud “ yang berasal daripada Allah”. Guru menjawab ”Firman itu bukan Pencipta dan Firman bukan sesuatu yang dicipta !!  Kau keluar dari sini !!”  dia menghalau saya keluar.
 
Ulasan saya: “Telah dijelaskan tadi “Kalimatulli” adalah suatu kesalahan. Dalam Al-Quran dinyatakan “Wakalimatun Minhu” yang bermaksud “Dan kalimah itu berasal dariNya” iaitu kalimah “KUN” (jadilah engkau) itu berasal dari Allah. Lihat penjelasan sebelum ini (di atas).
 
Selesai bahagian 2.

No comments:

Post a Comment